Wednesday, March 10, 2010

Mesyuarat pada 28 January 2010


Hasil nukilan Angeline Lee, ACB
*


Mesyuarat dimulakan oleh Puan Presiden. Beliau menyeru para hadirin untuk mengambil iktibar daripada peristiwa Haiti, untuk menghargai apa yang kita ada. Kehidupan ini amat rapuh, sekelip mata semuanya boleh berubah.

Seterusnya, semua ahli diminta melawat kelab-kelab yang lain dan membantu untuk mewar-warkan kewujudan kelab Pidato KL.


Puan Zaharah memulakan mesyuarat dengan peringatan menghargai apa yang kita ada. Kehidupan amat rapuh, sekelip mata semuanya boleh berubah

Seterusnya, pengacara majlis mengambil alih. Pengacara Prof Dato’ Dr Wan Zin berkata walaupun bilangan kehadiran lebih kecil daripada yang diharapkan, ini bermakna semua hadirin berpeluang untuk berucap. Beliau kemudiannya bertanya kepada hadirin, apakah tujuan kami menjadi ahli kelab Pidato KL?

Jawapan-jawapan yang diberi adalah untuk mempertingkatkan kemahiran dalam bidang komunikasi, memperbaiki cara berkomunikasi memandangkan tidak berpeluang bertutur dalam Bahasa Malaysia di tempat bekerja dan mengharungi cabaran menjadi penaja kelab baru.

Dalam sesi ucapan spontan, pengacara Hadzrin memperkenalkan sesi ini sebagai peluang untuk "bercakap di atas kaki", melatih keupayaan untuk berucap secara spontan dengan kata-kata yang bernas. Seperti mesyuarat yang lalu pada 21 Disember and 14 Januari, semua hadirin dijemput berucap, termasuk penilai ucapan spontan.

Prof Dato' Dr Wan Zin mendengar dengan teliti tajuk ucapan spontan yang diberi oleh pengacara Hadzrin


Ini disusuli pula dengan sesi ucapan projek. Ia dimulakan dengan ucapan projek no. 5 Bahasa Tubuh oleh Hakim, disertai dengan komputer riba beliau. Tajuk ucapan beliau juga adalah "Bahasa Tubuh". Fakta-fakta utama yang disampaikan oleh beliau adalah seperti berikut:

1. Gaya berdiri
Pengucap disarankan berdiri dengan tegak, berkeyakinan semasa berucap dan tidak menggerakkan tubuh tanpa sebab.

2. Gerakan
Ia boleh digunakan untuk menarik perhatian penonton, dengan pergerakan yang berguna, dan mendramatikkan fakta-fakta.

3. Gerakan tangan
Digunakan untuk menunjukkan kepentingan fakta, apabila ditegaskan dengan tangan. Jangan suka mengenggam tangan, dan cuba berwaspada kepada reaksi penonton.

4. Mimik muka
Ia sepatutnya selaras dengan apa yang disampaikan. Seperti contoh, senyuman apabila bercerita menunjukkan bahawa kisahnya adalah ceria.

5. Tatapan mata
Membantu menyampaikan mesej dengan baik. Berwaspada apabila memandang penonton terlalu lama kerana ini boleh menimbulkan rasa yang kurang menyenangkan kepada penonton.

Dari tajuk Bahasa Tubuh, kita beralih kepada ucapan Alat Bantu Dengar oleh Hadzrin. Tajuk ucapan beliau adalah "Maharaja Penguin". Antara fakta-fakta menarik yang disampaikan oleh beliau adalah penguin berkeupayaan untuk menahan nafas selama 20 minit di dalam air dan boleh menjunam ke dalam laut sedalam 500 meter. Gambar-gambar yang ditunjukkan memang menarik and membantu penonton menghayati cerita beliau. Amat ketara beliau telah meluangkan masa untuk membuat kajian dan menyediakan alat bantu dengar yang sesuai untuk ucapan beliau.


Hadzrin dengan gambar Majaraja Penguin


Sesi penilaian pula mengambil masa yang lebih panjang daripada yang biasa kerana semua hadirin berpeluang memberi penilaian kepada kedua-dua ucapan projek. Kedua-dua penyampai projek ucapan berpendapat bahawa ini adalah amalan yang bermanfaat kerana berpeluang untuk menerima pandangan-pandangan yang berlainan.

Puan Zaharah memberi penilaian terhadap ucapan projek Hadzrin

Ciri yang berbeza pada mesyuarat kali ini adalah penyampai projek ucapan juga diberi peluang membalas penilaian yang dibentangkan. Contohnya, apabila Prof Dato' Dr Wan Zin memberi saranan bahawa ucapan Hadzrin sepatutnya disesuaikan kepada citarasa penonton dan tidak berunsur kebudak-budakan, Hazdrin menjawab sebenarnya inspirasi beliau adalah mendiang Steve Irvin. Beliau kagum dengan cara persembahan mendiang Steve Irvin yang amat menyayangi haiwan.

Penilai perdana mengakhiri sesi penilaian dengan saranan untuk memulakan mesyuarat tepat pada masa supaya dapat berakhir pada masa yang ditetapkan.

Sekian sahaja laporan untuk mesyuarat 28 Januari 2010. Mesyuarat kelab Pidato KL yang seterusnya adalah pada 11 Februari 2010. Jemputlah hadir bersama rakan-rakan anda.

*

No comments: